22 September 2015 – KUCHING: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) cukup optimis permohonan membina 10,000 unit skim rumah mampu milik (RMR) di negeri ini, di luluskan oleh kerajaan. Menjelaskan mengenai skim berkenaan, Presiden SHEDA, Joseph Wong Kee Liong berkata, 10,000 unit RMR akan dibina dalam tempoh lima tahun oleh sekumpulan pemaju perumahan di bawah SHEDA.
“Kita telah cadangkan pembinaan skim rumah mampu milik itu kepada Unit Perancangan Negeri pada Julai lepas dan kita sangat opitimis permohonan kita mendapat maklum balas yang positif daripada Kerajaan Negeri,” ujarnya dalam sidang media di sini, semalam. Kata Joseph, sekiranya skim berkenaan diluluskan keutamaan untuk membeli rumah akan diberikan kepada mereka yang telah mendaftar menerusi http:///www.sheda.org.my “Kriteria utama dalam kaji selidik ini ialah, individu berkenaan ingin membeli rumah pertama selain berpendapatan RM3,000 ke atas dan berusia 18 tahun ke atas,” katanya.
“Jika skim ini diluluskan… mereka adalah kumpulan pertama yang kita hubungi kerana unit rumah berkenaan akan dibina di seluruh negeri dan dari segi kualitinya, ia sama seperti rumah mampu milik biasa lain,” ujarnya. Antara sebab yang mendorong SHEDA mencadangan skim berkenaan ialah kerana kebanyakan kumpulan yang berpendapatan RM3,000 ke atas tidak berupaya membeli rumah, masih tinggal dengan ibu bapa, masih menyewa selain ada yang terpaksa tinggal di penempatan haram.
“Kita mahu membantu kumpulan pertengahan ini mempunyai rumah. Meskipun membina rumah mampu milik ini memberi margin keuntungan kecil, namun kumpulan pemaju yang terbabit bersemangat untuk terlibat dalam projek selain ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR),” jelasnya. Menurut Joseph, SHEDA mensasarkan untuk membina sebanyak 2,000 unit rumah setiap tahun.
“Jika projek ini berjaya, kita yakin ia akan membantu mengimbangi harga rumah yang semakin tinggi dalam pasaran selain memenuhi kehendak pelanggan,” ujarnya sambil memberitahu kumpulan pemaju hartanah yang terbabit dalam skim berkenaan mempunyai bank tanah serta sumber kewangan yang kukuh. Katanya, dalam Pameran Hartanah SHEDA 2015 pada 25 hingga 27 September di BCCK, sebuah kaunter akan ditubuhkan untuk membantu orang awam mendaftar dalam skim tersebut. “Kita sangat mengalakkan orang awam mendaftar ke kaji selidik ini, semua maklumat mereka sulit,” katanya.
Read more : http://www.utusansarawakonline.com/news/28500/SHEDA-mohon-bina-10000-unit-RMR/